Tuesday 19 June 2012

‘Fakta saintifik’ menunjukkan Lynas selamat, kata PSC

Oleh Shannon Teoh KUALA LUMPUR, 19 Jun — Lynas Corp semakin dekat dalam usaha untuk mendapat Lesen Operasi Sementara (TOL) untuk kilang nadir buminya selepas jawatankuasa pilihan khas (PSC) mengesyorkan pengeluaran lesen itu atas sebab “fakta saintifik” yang menunjukkan kilang kontroversial di Kuantan itu selamat. Maklum balas yang positif yang dibentangkan dalam laporan PSC itu datang hanya empat hari selepas Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menolak satu rayuan penduduk Gebeng yang membantah keputusan kerajaan untuk meluluskan lesen TOL untuk projek Lynas. Sebaliknya, kementerian itu telah mengenakan dua syarat baru ke atas Lynas Advanced Materials Plant (LAMP), yang Lynas berkata ia tidak akan menghadapi masalah untuk memenuhi. Panel Parlimen itu, yang dulu diboikot pihak pembangkang, mengesyorkan satu jawantankuasa pemantauan yang dianggotai agensi regulatori, NGO dan pakar-pakar untuk memantau operasi kilang itu secara berterusan. Para pembangkang pernah mendakwa panel itu ditubuhkan cuma untuk “mengecat putihkan” projek yang bernilai RM2.5 bilion itu, “Jawatankuasa mengambil maklum bahawa melalui kajian, kadar purata dos sinaran di projek LAMP adalah 2 mSv setahun untuk pekerja (had dos tahunan dibenarkan adalah 20 mSv setahun) dan 0.002 mSv setahun untuk orang awam (had dos tahunan dibenarkan adalah 1 mSv setahun) dan ini menunjukkan bahawa kadar di projek LAMP adalah rendah dan selamat,” jawatankuasa itu menulis dalam laporannya yang akan dibahas oleh ahli Parlimen hari ini. “Jawatankuasa mengambil maklum bahawa berdasarkan fakta saintifik, LAMP mempunyai risiko kesihatan yang jauh lebih rendah berbanding aktiviti perlombongan, (loji Asian Rare Earth) ARE, loji pemprosesan torium dan loji nuklear.” Loji Asian Rare Earth (ARE) di Ipoh telah ditutup hampir dua dekad lalu kerana kebimbangan ada pencemaran radiasi yang telah dikaitkan dengan kadar leukemia dan kecacatan kelahiran di kawasan Bukit Merah yang lebih tinggi dari kawasan sekeliling. “Jawatankuasa berpuas hati bahawa projek LAMP telah memenuhi keperluan standard dan perundangan di Malaysia...Malahan, terdapat peruntukan undang-undang dan standard yang dikenakan ke atas projek LAMP adalah lebih ketat berbanding standard antarabangsa. Jawatankuasa mengesyorkan agar lesen Kelas A (Mengilang – Peringkat Pengendalian Sementara) atau (Temporary Operating Licence – TOL) dikeluarkan... (dan) satu jawatankuasa pemantauan (monitoring committee) dibentuk bagi memantau secara berterusan operasi LAMP.” “Jawatankuasa ini hendaklah dianggotai oleh agensi-agensi berkaitan serta penglibatan badan-badan bukan kerajaan (NGOs) dan pakar bertauliah,” laporan itu menulis lagi. Syarikat yang berpangkalan di Sydney itu telah memberitahu The Malaysian Insider bahawa ia akan mengemukakan kertas cadangan hari ini untuk memenuhi terma baru yang kelihatan seperti halangan terakhir untuk mendapatkan TOL yang sudah lama dinantikan. TOL itu telah diluluskan pada bulan Februari tetapi telah ditangguhkan disebabkan protes dari penghuni. Tetapi, penghuni yang telah mengfailkan rayuan kepada MOSTI berkata mereka akan mencabar keputusan menteri itu di mahkamah, dan mengelar syarat-syarat yang dikenakan itu sebagai “rapuh (flimsy)” dan “tidak cukup spesifik dan tidak akan dapat melindungi atau menenangkan hati penghuni yang tinggal di kawasan itu.” Jawatankuasa pilihan khas untuk Lynas itu diluluskan di Dewan Rakyat pada bulan Mac walaupun pihak pembangkang mendakwa panel yang dianggotai sembilan orang itu tidak mempunyai terms of reference dan akan diguna untuk “mengecat putihkan” isu itu. Ahli Parlimen Pakatan Rakyat juga telah menyoalkan keberkesanan jawatankuasa pilihan khas itu memandangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah berkata kerajaan tidak perlu menurut hasil pengajian panel itu. Lynas telah berkata pada bulan lalu bahawa ia akan dapat memulakan operasi kilang nadir bumi di Malaysia dalam jangka masa beberapa minggu selepas pengerusi jawatankuasa pilihan khas, Datuk Seri Khaled Nordin mengelar loji itu “loji nadir bumi yang paling selamat di dunia.” Lynas juga telah berkata pada bulan April bahawa penangguhan dalam mendapatkan lesen untuk kilangnya, yang pada mulanya diluluskan pada bulan Januari, mungkin akan ada “akibat yang sangat serius” untuk tempahan bumi nadir bernilai RM80 bilion yang sudah diterima, kerana sudah ditempah untuk “10 tahun yang akan datang”. sumber: http://my.news.yahoo.com/fakta-saintifik-menunjukkan-lynas-selamat-kata-psc-052653681.html

Thursday 14 June 2012

Pas tidak patut timbul isu pilihan raya umum pada musim haji

KUALA LUMPUR 14 Jun - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Pas tidak sepatutnya menimbulkan isu pilihan raya umum diadakan pada musim haji kerana UMNO juga akan berhadapan situasi sama sekiranya ia benar-benar berlaku. Kata beliau, kewajipan menunaikan haji adalah fardu ain yang mesti ditunaikan setiap orang Islam yang berkemampuan dan terpulang kepada mereka untuk mempertimbangkan sama ada membuat penangguhan atau tidak tanpa dipengaruhi sesiapa. Tambahan pula, menurut Muhyiddin, tidak ada sesiapa pun yang tahu bilakah pilihan raya akan diadakan termasuk beliau sendiri. ''Apa yang penting jangan kita campur aduk hanya kerana kita takut kalau diadakan pilihan raya, maka penyokong atau pekerja yang disebut oleh Pas (tiada di tanah air). Sebenarnya, ia akan berlaku kepada semua pihak termasuk parti-parti lain bukan Pas sahaja. ''Ini kerana pelbagai pertimbangan lain yang akan dibuat oleh Perdana Menteri, bila sampai masa kalau nak bubar Parlimen, beliau akan buat keputusan. Saya tidak fikir adalah satu perkara wajar untuk kita kata jangan adakan pilihan raya waktu orang pergi haji atau waktu selesai haji, saya tidak tahu,'' katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Mesra Rakyat 1Malaysia di pekan Sungai Besi di sini hari ini. Beliau mengulas kenyataan Ketua Penerangan Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang meminta ahli parti itu yang terlibat dalam pilihan raya menangguhkan ibadat haji bagi menghadapi pilihan raya akan datang. Turut hadir Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin; Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan MCA Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tan Chai Ho dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Rizalman Mokhtar. Terdahulu, beliau turut merasmikan pembangunan semula Masjid Jamek Ibnu Khaldun pekan Sungai Besi membabitkan kos RM9.5 juta dan dijangka siap pada tahun 2014. Dalam pada itu Muhyiddin berkata, Pas tidak wajar membuat desakan agar Perdana Menteri memberi jaminan pilihan raya tidak diadakan pada musim haji kerana ibadat itu adalah satu rukun kepada setiap orang Islam dan mereka patut mendahulukan perkara yang lebih utama. ''Setiap orang yang nak pergi haji mereka terpaksa menunggu lama dan ada antaranya terpaksa menanti sampai 10 tahun, jadi adakah wajar bagi mereka yang dah sampai giliran (buat penangguhan) biarpun dia tidak tahu bila tarikh pilihan raya hanya kerana mendengar cakap Nik Abdul Aziz Nik Mat (Mursyidul Am Pas) kata tak pergi, dia pun tidak pergi. ''Jadi mana yang lebih utama, lebih wajib? Saya fikir biar orang Islam berkenaan membuat pertimbangan sendiri,'' katanya. Sementara itu, beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, pihak pembangkang hanya membuat perang psikologi apabila mereka yakin boleh menang dalam pilihan raya umum akan datang hanya bersandarkan satu soal selidik yang dijalankan. Bagaimanapun, kata beliau, Barisan Nasional (BN) tidak akan tergugat dengan kenyataan itu kerana kekuatan dan kelemahan parti hanya akan diukur mengikut keadaan sebenar dan bukannya mengambil laporan daripada pihak ketiga. ''Kita tidak akan terpengaruh dengan tuntutan pembangkang kerana kita perlu turun ke bawah, kena tengok sendiri bagaimana keadaan sebenar. ''Kita tidak akan mengambil laporan pihak ketiga atau apa orang luar kata, sama ada betul atau tidak kerana ini soal strategi dan kita tidak akan umumkan strategi itu,'' aktanya. sumber: Utusan Online Mya aleeza: Hukum Agama tetap WAJIB..jgn dipolitikan demi kepentingan politik..

Sunday 10 June 2012

Kerajaan BN Penuhi Aspirasi Orang Muda - PM

Najib Tun Razak menendang bola ketika melawat gerai pameran sempena program 'TwtUpKami' di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam. KUALA LUMPUR 9 Jun - Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan Barisan Nasional (BN) adalah sebuah kerajaan yang menepati aspirasi serta tuntutan orang muda dan wajar golongan berkenaan secara berterusan memberi sokongan kepada parti itu untuk memimpin negara. Perdana Menteri berkata, dalam usaha kerajaan menjadikan masa depan negara lebih bersinar berbanding kejayaan dikecapi sekarang, transformasi yang dilaksanakan bukan sahaja membabitkan soal dasar tetapi turut memenuhi kehendak golongan muda. "Kerajaan sentiasa melakukan perubahan bukan sahaja dari segi dasar tetapi menepati tuntutan orang muda. Mereka mahu kerajaan menyediakan peluang dalam pendidikan, kemahiran, keusahawanan dan kreativiti agar apabila dewasa masa depan mereka lebih elok daripada hari ini. "Dasar transformasi negara adalah untuk mencapai masa depan yang lebih bersinar, justeru itu golongan muda harus melihat BN adalah kerajaan untuk mereka," katanya semasa berucap sempena program 'TwtUpKami' di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini hari ini. Hadir sama Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah; Ahli Parlimen Hulu Selangor, P. Kamalanathan serta beberapa artis tersohor tanah air yang juga merupakan ahli komuniti Twitter. Dalam pada itu Najib berkata, sebagai sebuah kerajaan yang sentiasa komited dengan kehendak generasi muda, seluruh pentadbiran BN kini begitu aktif dengan penggunaan media sosial kerana jika tidak disesuaikan dengan peredaran zaman, parti berkenaan akan beku. Ditanya mengenai pasukan bola sepak yang bakal memenangi kejohanan Euro 2012 pula, Najib memilih Sepanyol untuk sekali lagi muncul juara selepas berbuat demikian pada edisi 2008 walaupun beliau sendiri merupakan penyokong England. Sementara itu, menyentuh mengenai perancangan membangun bola sepak Malaysia, Perdana Menteri berkata, kerajaan bersedia memberi tajaan kepada mana-mana pemain tempatan yang berbakat bagi menimba ilmu di liga Eropah. - Utusan Online