Thursday 14 June 2012

Pas tidak patut timbul isu pilihan raya umum pada musim haji

KUALA LUMPUR 14 Jun - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Pas tidak sepatutnya menimbulkan isu pilihan raya umum diadakan pada musim haji kerana UMNO juga akan berhadapan situasi sama sekiranya ia benar-benar berlaku. Kata beliau, kewajipan menunaikan haji adalah fardu ain yang mesti ditunaikan setiap orang Islam yang berkemampuan dan terpulang kepada mereka untuk mempertimbangkan sama ada membuat penangguhan atau tidak tanpa dipengaruhi sesiapa. Tambahan pula, menurut Muhyiddin, tidak ada sesiapa pun yang tahu bilakah pilihan raya akan diadakan termasuk beliau sendiri. ''Apa yang penting jangan kita campur aduk hanya kerana kita takut kalau diadakan pilihan raya, maka penyokong atau pekerja yang disebut oleh Pas (tiada di tanah air). Sebenarnya, ia akan berlaku kepada semua pihak termasuk parti-parti lain bukan Pas sahaja. ''Ini kerana pelbagai pertimbangan lain yang akan dibuat oleh Perdana Menteri, bila sampai masa kalau nak bubar Parlimen, beliau akan buat keputusan. Saya tidak fikir adalah satu perkara wajar untuk kita kata jangan adakan pilihan raya waktu orang pergi haji atau waktu selesai haji, saya tidak tahu,'' katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Mesra Rakyat 1Malaysia di pekan Sungai Besi di sini hari ini. Beliau mengulas kenyataan Ketua Penerangan Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang meminta ahli parti itu yang terlibat dalam pilihan raya menangguhkan ibadat haji bagi menghadapi pilihan raya akan datang. Turut hadir Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin; Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan MCA Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tan Chai Ho dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Rizalman Mokhtar. Terdahulu, beliau turut merasmikan pembangunan semula Masjid Jamek Ibnu Khaldun pekan Sungai Besi membabitkan kos RM9.5 juta dan dijangka siap pada tahun 2014. Dalam pada itu Muhyiddin berkata, Pas tidak wajar membuat desakan agar Perdana Menteri memberi jaminan pilihan raya tidak diadakan pada musim haji kerana ibadat itu adalah satu rukun kepada setiap orang Islam dan mereka patut mendahulukan perkara yang lebih utama. ''Setiap orang yang nak pergi haji mereka terpaksa menunggu lama dan ada antaranya terpaksa menanti sampai 10 tahun, jadi adakah wajar bagi mereka yang dah sampai giliran (buat penangguhan) biarpun dia tidak tahu bila tarikh pilihan raya hanya kerana mendengar cakap Nik Abdul Aziz Nik Mat (Mursyidul Am Pas) kata tak pergi, dia pun tidak pergi. ''Jadi mana yang lebih utama, lebih wajib? Saya fikir biar orang Islam berkenaan membuat pertimbangan sendiri,'' katanya. Sementara itu, beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, pihak pembangkang hanya membuat perang psikologi apabila mereka yakin boleh menang dalam pilihan raya umum akan datang hanya bersandarkan satu soal selidik yang dijalankan. Bagaimanapun, kata beliau, Barisan Nasional (BN) tidak akan tergugat dengan kenyataan itu kerana kekuatan dan kelemahan parti hanya akan diukur mengikut keadaan sebenar dan bukannya mengambil laporan daripada pihak ketiga. ''Kita tidak akan terpengaruh dengan tuntutan pembangkang kerana kita perlu turun ke bawah, kena tengok sendiri bagaimana keadaan sebenar. ''Kita tidak akan mengambil laporan pihak ketiga atau apa orang luar kata, sama ada betul atau tidak kerana ini soal strategi dan kita tidak akan umumkan strategi itu,'' aktanya. sumber: Utusan Online Mya aleeza: Hukum Agama tetap WAJIB..jgn dipolitikan demi kepentingan politik..

No comments:

Post a Comment