Sunday 10 June 2012

Kerajaan BN Penuhi Aspirasi Orang Muda - PM

Najib Tun Razak menendang bola ketika melawat gerai pameran sempena program 'TwtUpKami' di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam. KUALA LUMPUR 9 Jun - Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan Barisan Nasional (BN) adalah sebuah kerajaan yang menepati aspirasi serta tuntutan orang muda dan wajar golongan berkenaan secara berterusan memberi sokongan kepada parti itu untuk memimpin negara. Perdana Menteri berkata, dalam usaha kerajaan menjadikan masa depan negara lebih bersinar berbanding kejayaan dikecapi sekarang, transformasi yang dilaksanakan bukan sahaja membabitkan soal dasar tetapi turut memenuhi kehendak golongan muda. "Kerajaan sentiasa melakukan perubahan bukan sahaja dari segi dasar tetapi menepati tuntutan orang muda. Mereka mahu kerajaan menyediakan peluang dalam pendidikan, kemahiran, keusahawanan dan kreativiti agar apabila dewasa masa depan mereka lebih elok daripada hari ini. "Dasar transformasi negara adalah untuk mencapai masa depan yang lebih bersinar, justeru itu golongan muda harus melihat BN adalah kerajaan untuk mereka," katanya semasa berucap sempena program 'TwtUpKami' di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini hari ini. Hadir sama Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah; Ahli Parlimen Hulu Selangor, P. Kamalanathan serta beberapa artis tersohor tanah air yang juga merupakan ahli komuniti Twitter. Dalam pada itu Najib berkata, sebagai sebuah kerajaan yang sentiasa komited dengan kehendak generasi muda, seluruh pentadbiran BN kini begitu aktif dengan penggunaan media sosial kerana jika tidak disesuaikan dengan peredaran zaman, parti berkenaan akan beku. Ditanya mengenai pasukan bola sepak yang bakal memenangi kejohanan Euro 2012 pula, Najib memilih Sepanyol untuk sekali lagi muncul juara selepas berbuat demikian pada edisi 2008 walaupun beliau sendiri merupakan penyokong England. Sementara itu, menyentuh mengenai perancangan membangun bola sepak Malaysia, Perdana Menteri berkata, kerajaan bersedia memberi tajaan kepada mana-mana pemain tempatan yang berbakat bagi menimba ilmu di liga Eropah. - Utusan Online

No comments:

Post a Comment